Skip to main content
Setiausaha Agung Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Isham. - Foto Salhani Ibrahim

SUBANG JAYA: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menggalakkan agensi kerajaan dan korporat memberi sokongan dengan membeli produk kraf dari Kompleks Kraf Kuala Lumpur, berikutan kemasan barangan lebih halus dan berkualiti.

Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Isham Ishak, berkata sokongan semua pihak perlu dalam memperkasakan operasi pengusaha kraftangan tempatan yang sebahagian besar memasarkan produk seni di situ.

Beliau berkata, sokongan berterusan diharap melonjakkan nilai komersil produk berkenaan. Usaha ini berupaya membantu mengetengahkan produk kraf tempatan serta menghentikan kebergantungan cenderahati dari negara luar.

Katanya, bagi memenuhi pasaran itu, usahawan perlu berdaftar bagi memudahkan operasi pemasaran termasuk mengambil bahagian dalam tender kerajaan mahupun swasta bagi memudahkan mereka membekalkan produk masing-masing.

“Kita berhasrat menempatkan usahawan Persatuan Seni Jahitan Kreatif Malaysia (PSJKM) di Pasar Seni kerana produk kraf paling banyak mendapat permintaan pelancong,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan majlis pra pelancaran ‘The Tunku Azizah Handmade Market’ (TTHAM) di pusat beli belah One City di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi PSJKM, Fully Chye Goet Lee. Acara dijadual berlangsung penghujung tahun ini di pusat jahitan terkemuka Sewing World Gallery, di One City. Tempat ini menjadi tarikan tukang jahit seni termasuk karya kreatif diiktiraf Guinness World of the Records.

Kira-kira 100 usahawan mengikuti program jahitan di situ dengan lebih 5,000 ahli, berupaya menjana pendapatan antara RM1,800 hingga RM 18,000 sebulan.

Mengulas perkembangan berkaitan, Isham berkata pihaknya berhasrat menjadikan pusat beli belah One City, sebagai lokasi pelancongan baharu di Selangor sekali gus mempromosikannya tempat ini sebagai tarikan pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2020.

Beliau berkata, ini bertepatan potensinya sebagai pusat komersil setempat dengan dilengkapi kemudahan auditorium untuk persembahan kebudayaan. Suasana mesra pengunjung ini mewujudkan lokasi tumpuan yang kondusif bagi menarik kehadiran pelancong.