Skip to main content
KENANGAN: Gambar kenangan Suharyati bersama semua penerima sumbangan serta pegawai-pegawai kanan.

KUCHING: Seramai lima pelajar Sijil Fesyen dan Pakaian Kolej Komuniti Kuching menerima sumbangan mesin jahit daripada Persatuan Seni Jahitan Kreatif Malaysia (PSJKM) melalui Unit Keusahawanan dan Alumni, Bahagian Ambilan dan Pembangunan Pelajar (BAPP), JPPKK.

Kolej Komuniti Kuching dalam kenyataan media semalam berkata, penerima berkenaan merupakan sebahagian daripada 79 pelajar Kolej Komuniti seluruh Malaysia yang terpilih untuk menerima sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh PSJKM.

Ia menurutnya, disampaikan pada Majlis Meraikan Kejayaan Pembukaan 100 Kedai The Tunku Azizah Handmade Market Online yang diadakan secara dalam talian semalam.

“Majlis tersebut telah disempurnakan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah selaku penaung PSJKM.

“Simbolik penyerahan sumbangan mesin jahit kepada pelajar telah disampaikan Pengarah Kolej Komuniti Kuching Suharyati Sulaiman kepada penerima yang terdiri daripada keluarga dalam kelompok B40,” jelas kenyataan tersebut.

Manurutnya, kesemua pelajar yang menerima sumbangan diberikan latihan keusahawanan serta latihan penggunaan mesin jahit bagi membolehkan mereka menjalankan aktiviti keusahawanan dan jualan secara dalam talian.

“Antara objektif sumbangan tersebut ialah agar para pelajar berupaya meningkatkan kemahiran keusahawanan, menambah pendapatan keluarga serta memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran di rumah.

“Pelajar yang menerima ialah Nur Farah Hanani Shamsuri, Dayang Nur Syazawani Awang Rosli, Assya Ros Fatin Othman, Danial Dharmadie Hamzah Ar-Ainny dan Nur Nisrina Narawi,” ujarnya.

Dalam pada itu, Suharyati menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan PSJKM kerana berbesar hati memilih pelajar Kolej Komuniti Kuching sebagai penerima sumbangan di bawah inisiatif CSR mereka.

“Saya berharap pelajar-pelajar ini dapat memanfaatkan sepenuhnya sumbangan yang diberi untuk meningkatkan kemahiran diri serta menambah baik proses pembelajaran mereka,” ujar beliau.