Skip to main content
Usahawan, Nor Haniza Abu Hassan yang nenggunakan teknik ‘eco print’ pada setiap barangan . - Foto NSTP/ AZIAH AZMEE

KUALA LUMPUR: Teknik cetakan kreatif (ecoprint) yang menggabungkan keindahan alam serta tumbuhan semula jadi seperti dedaun, bunga atau batang kayu pada permukaan fabrik menjadikan hasilnya begitu unik dan eksklusif.

Kali pertama melihat hasil pelbagai produk berasaskan cetakan kreatif terdetik rasa kagum kerana tidak menyangka reka corak menggunakan sumber semula jadi itu bukan hanya sekadar pada lukisan.

Yang nyata proses pembikinannya memang renyah, memerlukan tempoh dua minggu menyiapkan corak pada fabrik sebelum dijadikan pelbagai motif pada persalinan untuk busana, tudung, selain barangan kraf tangan seperti beg genggam, alas meja dan banyak lagi.

Namun, setiap kali melihat koleksi yang menakjubkan segala kepenatan berbaloi dan berpuas hati.

Itulah ungkapan perasaan, pengusaha produk berasaskan cetakan kreatif, Nor Haniza Abu Hassan, 44, yang sudah hampir dua tahun berkecimpung dalam penghasilan produk berkaitan.

Katanya, cetakan kreatif adalah teknik mewarna dan mencorakkan kain dengan menggunakan tumbuhan membabitkan daun, akar, kulit dan batang kayu, bunga serta buah-buahan.

Menariknya, hasilnya begitu eksklusif kerana hanya satu corak bagi setiap produk kerana ia berdasarkan sifat tumbuhan itu sendiri.

Pembikinan ecoprint ini istimewa kerana corak dihasilkan bukan berada dalam kawalan tangan manusia, tetapi lebih kepada kehendak alam itu sendiri.

Kongsinya, jika hasilkan produk berasaskan ecoprint ini, kita tidak boleh dapatkan corak yang sama kerana sifat daun juga berbeza antara satu sama lain.

“Apa yang membuatkan saya jatuh cinta adalah penggunaan bahannya yang mesra alam menggunakan pelbagai jenis tumbuhan khususnya daun.

“Antara daun paling kerap digunakan bagi teknik itu ialah daun jati, daun jarak, daun ceri kampung, daun bodhi dan daun eucalyptus.

“Saya sudah membuat aneka produk antaranya beg genggam, tudung dan alas meja menggunakan teknik itu, katanya ditemui BH, baru-baru ini.

Fabrik direndam dengan tawas, dijemur lima hari

Anak kelahiran Tampin, Negeri Sembilan ini berkata, bagi membuatkan material cetakan kreatif itu, kerja awal dilakukan ialah dengan membersihkan kain daripada kanji atau benda asing pada fabrik dengan sabun basuh atau direndam semalaman dengan air tawas, kemudian dibilas hingga bersih.

“Selepas itu teknik ‘mordanting’ diperlukan iaitu proses mengubah pH fabrik supaya bertindak balas dengan tumbuhan yang akan digunakan dalam menghasilkan corak.

“Kain mesti berada dalam keadaan lembap dan diletakkan di atas lantai sebelum daun yang sudah dirawat disusun mengikut corak dikehendaki.

“Kain perlu diselimutkan dan dilapik dengan plastik, lalu digulung serta diikat dengan ketat kemudian dikukus sekurang-kurangnya dua jam.

“Selepas itu boleh diangkat dan dibuka ikatannya, kemudian dijemur di tempat teduh sekurang-kurangnya lima hari.

“Untuk mendapatkan hasil yang cantik dan berkualiti kita gunakan kain jenis kapas, linen dan sutera sebelum dijadikan produk yang diingini seperti baju atau sebagainya,” katanya.

Mengimbas pembabitan ibu kepada tiga anak ini, Nor Haniza berkata, beliau mula menjinakkan diri dalam seni kreatif cetakan, kira-kira dua tahun lalu selepas mengikuti kelas persendirian dan bengkel anjuran Persatuan Seni Jahitan Kreatif Malaysia (PSJKM).

Menjadi harapannya, supaya seni cetakan kreatif ini mampu berkembang dan dikomersilkan secara meluas dan popular dalam kalangan masyarakat sekali gus dapat memartabatkan warisan seni kerja tangan yang unik.

Produk dihasilkan dijual antara RM20 hingga RM350.