Skip to main content
Ketua Setiausaha, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Isham Ishak (dua kanan) menyaksikan pertukaran dokumen diantara Pengerusi, Persatuan Seni Jahitan Kreatif Malaysia (PSJKM), Fully Chye Goet Lee (tiga dari kanan) dengan Presiden Persatuan Muafakat One Belt One Road Malaysia (PMOBOR), Datuk Iskandar Sarudin (tiga dari kiri) selepas Majlis Menandatangani Mou antara PSJKM dan PMOBOR, di Sewing World Gallery, Skypark @ Onecity Mall. - Foto Owee Ah Chun

SUBANG JAYA: Seni kraf jahitan yang dihasilkan usahawan tempatan berpotensi untuk dipasarkan ke pasaran global menerusi kerjasama pintar Persatuan Seni Jahitan Kreatif Malaysia (PSJKM) dan Persatuan Muafakat One Belt One Road Malaysia (PMOBOR).

Kerjasama dipelopori Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menerusi perjanjian persefahaman (MOU) yang ditandatangani PSJKM dan PMOBOR, di sini, hari ini.

Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Isham Ishak, berkata MOU diharap membantu kedua-dua persatuan menjalinkan kerjasama untuk membawa hasil seni kraf ke pasaran antarabangsa selain menambah pendapatan ahli dengan jangkaan perolehan sehingga RM3,000 sebulan.

Beliau berkata, menerusi kerjasama ini juga kedua-dua pihak akan memanfaatkan teknologi maklumat dan pengetahuan industri 4.0 untuk digunakan ahli selain memberi nilai tambah kepada industri kraftangan negara.

“Inisiatif itu diharap membantu memasarkan produk kraf ke pasaran lebih luas dengan menyasarkan China memandangkan negara itu mempunyai peluang yang luas,” katanya.

Yang turut hadir, Pengerusi PSJKM, Fully Chye Goet Lee dan Presiden PMOBOR, Datuk Iskandar Sarudin.

Isham berkata, MOTAC juga mempromosikan hasil seni jahitan berkenaan pada mesyuarat Penganjuran Sidang Kemuncak Pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2020 dan pameran budaya Asean (Asean Cultural) tahun depan.

Sementara itu, Iskandar Sarudin, berkata pihaknya sudah mengenal pasti institusi di China yang terbabit dalam mempromosikan hasil seni jahitan.

“Mereka memiliki teknologi dan kepakaran berkaitan bidang jahitan yang memberikan manfaat dan boleh menjadi platform bagi mengetengahkan produk kita,” katanya.