Skip to main content
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Datuk Hamdan Hussin menyampaikan mesin jahit kepada penerima Program Prihatin MBK bersama Komuniti Projek Perumahan Rakyat Disewa (PPRS) Pinggiran Putra, Kuantan, hari ini. - Foto ASROL AWANG

KUANTAN: Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) akan perketatkan syarat pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di

30 tapak bazar Ramadan di sekitar bandar raya ini tahun ini.

Datuk Bandar, Datuk Hamdan Hussin, berkata pematuhan itu bagi mengelak penularan wabak pandemik COVID-19 dan kluster baharu membabitkan bazar Ramadan.

Beliau berkata, sebanyak 1,000 petak jualan disediakan kepada peniaga untuk menjalankan perniagaan mereka sepanjang Ramadan tahun ini.

“Selain pematuhan SOP berkaitan penjarakan fizikal, pemeriksaan suhu dan pemakaian pelitup muka, tahap kebersihan penyediaan dan hidangan makanan serta minuman turut diberi penekanan utama.

“Kita mahu peniaga mengamalkan kebersihan untuk memastikan makanan atau minuman yang dijual kepada orang ramai bersih dan selamat.

“Jika ada peniaga yang ingkar, kita tidak teragak-agak menarik lesen dan tidak lagi membenarkan mereka berniaga,” katanya ketika ditemui media selepas Program Prihatin MBK bersama Komuniti Projek Perumahan Rakyat Disewa (PPRS) Pinggiran Putra, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Setiausaha MBK, Datuk Hamiza Hamzah dan Ahli Jawatankuasa Persatuan Seni Jahitan Kreatif Malaysia (PSJKM) , Nurulatiq Ahmad Bandi.

Pada program itu, MBK dengan kerjasama PSJKM menyampaikan mesin jahit kepada lima penduduk PPRS Pinggiran Putra.

Mengulas penyampaian mesin jahit itu, Hamdan meminta lima penerima berkenaan dapat memanfaatkan mesin jahit itu dengan sebaik mungkin.

Katanya, mereka diharap dapat menguasai kemahiran jahitan kreatif bukan sahaja menambah sumber pendapatan, malah menjadi contoh kepada masyarakat.